This title caught my attention to read the content and am in very much in agreement with the writer. We have been showered with the life of divorcees especially when they are single mothers. Their predicaments touched our hearts and yet raised eyebrows, smirking are still focused on them. Their future life is unknown and they are going through the waves as sturdy as they could … the strength that they have build through the toiled years …
Berita Harian 25 Feb 2007:Gelaran janda kelas satu hanya gimik
Ketika membaca akhbar tempatan pada 18 Februari lalu, saya berfikir sejenak sebaik saja melihat gambar tiga artis bekas ahli kumpulan popular suatu ketika dulu dilabelkan 'Janda Kelas Satu'. Adakah ini gimik bagi menarik pembaca untuk terus membaca atau satu gelaran yang mempunyai nilai sebenar kepada mereka?
Saya bersimpati dengan nasib artis muda itu dan tidak berniat mengecilkan hati sesiapa. Tapi saya melihat daripada aspek profesionalisme dalam memperkatakan sesuatu isu yang hendak digarap.
Saya terfikir mengenai nasib janda atau ibu tunggal yang tidak glamor dan tidak menonjolkan diri seperti janda di kalangan selebriti tetapi begitu gigih berusaha dan berjuang untuk hidup bagi membesarkan anak selepas kehilangan suami.
Sebelum kita meletakkan status atau reputasi pada mana-mana golongan, kita perlu sensitif dengan perasaan dan emosi janda. Tanyalah mana-mana wanita, tidak ada wanita yang mahu dan sanggup memikul gelaran itu. Tetapi apakan daya, nasib kita tidak dapat pastikan. Pada tafsiran saya, kelas satu ini bermaksud satu pencapaian dan kecemerlangan yang diperoleh oleh individu atau kumpulan dalam sesuatu aktiviti yang dijalankan.
Kalau pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) yang mencapai taraf kelas satu, ini adalah kumpulan pelajar cemerlang daripada segi pencapaian akademiknya iaitu Purat Gred Nilai Terkumpul (CGPA) 3.7 hingga 4.
Ia tidak termasuk kecemerlangan kokurikulum dan aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya. Begitulah maksud kelas satu dan memang ada kumpulan pelajar yang ada kelas dalam pencapaian mereka.
Bagaimana pula dengan ahli bekas kumpulan popular berkenaan yang digelar janda kelas satu? Apa pencapaian, sumbangan dan kecemerlangan mereka sehingga digelar janda kelas satu? Adakah mereka jauh lebih baik daripada janda di luar yang menggunakan minda dan tenaga untuk meneruskan hidup?
Hati saya cukup tersentuh apabila membaca perjuangan hidup janda di akhbar, majalah atau dalam program televisyen atau melihat sendiri kesusahan dan penderitaan mereka yang ditinggalkan suami, sama ada ditinggal hidup atau suami yang sudah meninggal dunia.
Mereka berjuang untuk hidup, tambah lagi mereka berpendidikan sederhana.
Pada saya, janda kelas satu mempunyai ciri-ciri berikut:
· Berketrampilan dan berperibadi mulia dengan menjaga maruah dan peribadi sebagai janda berlandaskan kepada kehendak dan keperluan agama, masyarakat dan budaya.
· Berfikiran positif menghadapi kemelut kehidupan yang dihadapi selepas bergelar janda dengan berusaha gigih mencari nafkah dengan jalan yang diredhai Allah.
· Menjaga sensitiviti dan perasaan anak, keluarga, masyarakat dan maruah golongan janda seluruhnya dengan menjaga kata-kata dan tingkah laku yang mencerminkan keperibadian berakhlak dan bermoral.
· Bekerja dengan gigih dengan tenaga dan kudrat yang ada seperti banyak contoh janda yang berniaga, bertani dan bekerja dalam sektor perkilangan dengan niat penuh ikhlas untuk membina kebahagiaan diri dan anak.
· Tidak bergaul mesra dengan yang bukan muhrim yang boleh menimbulkan fitnah.
· Tidak mendedahkan keburukan dan kelemahan bekas suami untuk mendapat manfaat daripada itu.
· Tidak menceburkan diri dengan profesion yang boleh mendatangkan fitnah dan menjejaskan maruah diri, keluarga dan anak.
· Berusaha gigih untuk hidup dan tidak bergantung kepada belas kasihan daripada orang lain. Sokongan masyarakat akan membuatkan golongan janda terus bersemangat untuk hidup.
Janda beriman dan bertaqwa kepada Allah, banyak menjalankan kerja kemasyarakatan bersama masyarakat setempat dan komuniti kejiranan.
Janganlah kita meletakkan satu fokus ukuran saja dalam melabelkan status janda tambah-tambah lagi yang memfokuskan kepada aspek fizikal dan material saja dan profesion yang glamor yang diceburi ibu tunggal.
Sebagai wanita, saya amat prihatin dan simpati terhadap ibu tunggal kerana tidak dapat memastikan masa depan mereka. Biarlah simbol dan gelaran itu sensitif, rasional dan benar-benar menggambarkan apa yang hendak kita gelar.
Janda kelas satu adalah janda yang boleh menjadi contoh teladan baik dan perlu dijadikan idola oleh kumpulan janda khasnya dan wanita lain amnya.
DR RUSINAH SIRON,
Pensyarah Kanan,
Kolej Pengurusan Bisnes,
dan Perakaunan,
Universiti Tenaga
